"Awak tidak melayan saya sebagai seorang suami. Awak menengking saya dan banyak berkasar dengan saya. Awak tak pernah nak belajar bersyukur dan berterima kasih. Saya tak akan menengking isteri jika isteri tak menengking saya. Sekarang saya hanya cuma memikirkan anak-anak sahaja. Kalau betul apa yang awak cakapkan pada saya bahawa awak dah benci pada saya dan tak boleh membahagiakan saya awak buatlah apa yang patut.
Diatas adalah satu mesej menerusi SMS yang dipanjangkan oleh klien kepada saya. Mesej daripada suaminya. Klien saya ini bertemu janji menerusi panggilan telefon bersama saya tidak lama dulu.
Menurut klien saya ini, dia rasa dikongkong oleh suaminya, sukar bebas bersama rakan-rakan, terpaksa mengikut cakap suami dan macam-macam lagi, seolah-olah kebebasannya disekat. Saya akan binacangkan mengenai sekatan hubungan sosial ini masa akan datang, insyallah.
Seperti biasa, balasan SMS saya kepada klien tadi, mengulangi semula pesanan saya ketika sesi temu janji sebelum ini, jangan berfikir menggunakan emosi sebaliknya gunakan fikiran yang waras. Jangan sampai menyesal belakang hari.
Saya tidak mendengar daripada suaminya, namun SMS si suami menyokong cerita-cerita klien saya sebelum ini. Klien mengakui, dia tidak ada hati lagi kepada suami. Mengakui sering bergaduh dan kadang-kadang hanya kerana perkara kecil. Meneliti SMS si suami, saya yakin, ada ketikanya juga, klien saya memulakan pergaduhan.
Jalan Keluar tersedia
Ya! Pergaduhan, pertengkaran, perkelahian memang biasa dalam perkahwinan tapi kalau tiap-tiap hari bergaduh, sepanjang masa berkelahi dan bertengkar, itu sudah jadi luar biasa. Kita semak semula hikmah dan prinsip perkahwinan, antaranya ialah untuk setiap individu iaitu suami dan isteri merasa tenang dan bahagia dan untuk kedua-dua pihak, suami dan isteri menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing.
Kalau setiap hari bertekak, pantang jumpa mesti bergaduh, bagaimana datang ketenangan dan kebahagiaan? Di mana tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan?
Seorang isteri, diwajibkan untuk menghormati suami, walau dalam apa juga situasi. Bukan tidak boleh mempertahankan hak sendiri tetapi hormat tetap perlu ada. Bila hormat tetap ada, si isteri akan berusaha mengelakkan diri daripada meninggikan suara kepada suami, memaki hamun suami, mencaci itu ini atau pun tidak akan memperlekehkan suami.
Walau isteri lebih kaya, lebih rupa, lebih tinggi pendidikannya, isteri tetap wajib hormat pada suami. Walau suami seorang yang tidak berdaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami atau sengaja mengabaikan tanggungjawabnya, isteri juga tetap wajib hormat pada suami.
Ini bukan penganiayaan kepada isteri tetapi keistimewaan. Apa istimewanya kalau suami tidak melakukan tanggungjawab perlu dihormati juga? Istimewanya kerana pahala yang akan diperoleh oleh isteri tadi, sukar untuk dinilai. Pahala? Apa guna pahala kalau hidup sengsara? Kalau sengsara, keluar dari perkahwinan tersebut.
Ramai isteri yang enggan keluar dari perkahwinan, berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan status isteri tetapi gagal menghormati suami. Suami diherdik, ditengking, dicaci dan dicerca. Ada yang mendiamkan diri, suami tegur tak peduli, nak layan suami jauh sekali. Ada yang berpura-pura, depan suami manis sekali tapi di belakang, suami diumpat itu ini. Kenapa memilih status isteri jika dalam masa yang sama terus menerus menambah dosa sendiri?
Manusia normal mesti bertekak dan ada ketikanya tertinggi suara. Ya saya akui kebenaran tersebut. Cuma pesanan saya, jika perkara tersebut berlaku, cepat-cepatlah mohon ampun dan maaf kepada suami. Jangan tunggu raya baru nak minta maaf.
Kalau suami yang salah, nak minta maaf juga? Ya! Minta maaf sebab isteri tertinggi suara, bukan atas kesalahan yang bukan bermula daripada anda. Kalau tidak minta maaf? Kalau suami memaafkan anda tanpa anda meminta maaf, alhamdulillah.
Tapi jika tidak, hanya Dia yang tahu kedudukan anda, cuma hukum mengatakan; redha Allah kepada isteri hanya setelah suami redha kepada isteri tadi.
Bukankah kalau suami sengaja gagal melaksanakan tanggungjawab nafkah zahir, isteri tidak perlu melayan nafkah batinnya? Betul, tapi dengan mengambil kira kewajipan nafkah sama seperti kewajipan mas kahwin (rujuk blog atau buku saya) tetapi kegagalan suami itu bukan kebenaran untuk isteri tidak hormat pada suami.
Paling penting, ada perbezaan jelas antara taat dan hormat. Isteri wajib taat kepada suami selagi segala arahan atau kehendak suami tidak menyalahi hukum syarak. Hormat pula, perlu sepanjang masa. Dalam kamus Dewan edisi 4, hormat bermaksud mempunyai pandangan yang tinggi terhadap seseorang dengan memberikan layanan yang penuh sopan, khidmat dan takzim.
Hormatilah suami sedaya upaya, walau apa juga emosi anda, walau apa juga situasinya. Jika tidak mampu (dengan syarat telah berusaha sesungguhnya) jalan keluar tersedia...
Dipetik dari Mingguan Wanita. bil: 1361