Selasa, 5 Januari 2010

WANITA DALAM AL-QURAN DAN HADIS

Islam memuliakan wanita. Sifat penyayang, lemah lembut, belas kasihan sememangnya Allah bekalkan kepada wanita untuk berperanan sebagai isteri yang mengasihi suami dan ibu yang penyayang kepada anak-anaknya. Allah tidak jadikan wanita itu percuma tanpa diganjari.
Rumahtangga adalah medan mengutip pahala bagi seorang wanita. Jumlah pahala yang dikutip sama banyaknya dengan nisbah seorang lelaki yang keluar berjihad di medan perang. Inilah istimewanya dunia wanita. Bahkan Al-Quran dan Hadis banyak menyebutkan ganjaran pahala yang Allah sediakan untuk wanita dalam rumahtangga.

1. Dari Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda :
" Mana-mana perempuan yang berdiri atas dua kakinya membakar roti bagi suaminya, hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api itu, maka diharamkan muka dan tangannya dari kebakaran api Neraka. Dan mana-mana perempuan yang menunggu suaminya pulang lalu disapukan mukanya, dihamparkan hamparan duduknya, disediakan makan minumnya, direnungkannya muka suaminya, memegang tangan suaminya, memperelokkan jamuan kepadanya, memelihara anaknya dan memanfaatkan hartanya pada suaminya untuk mencari keredhaaan Allah, maka disuratkan baginya akan tiap kalimah ucapannya seperti memerdekakan seorang hamba. Pada hari Kiamat Allah kurniakan padanya "nur" sehingga tercengang-cengang perempuan-perempuan Mukmin seluruhnya atas kurniaan keramat itu. Tiada seorang pun yang sampai ke martabat itu melainkan Nabi-nabi." (Riwayat Abu Hurairah)

2. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 233:
" Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh iaitu bayi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu itu dengan cara yang makruf. Seseorang itu tidak dibebankan melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seseorang ibu itu menderita sengsara kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya. Dan waris pun berkewajipan demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permesyuaratan maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anaknya disusukan oleh orang lain maka tidak ada dosa bagi kamu memberi pembayaran menurut yang patut. Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan." ( Al- Baqarah: 233 )

3. Firman Allah dalam surah At-Thalaq ayat 6:
"Dan jika mereka (isteri-isteri yang ditalak) itu perempuan-perempuan hamil, maka berilah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka bersalin. Kemudian jika mereka menyusu (anakmu) untukmu berilah kepada mereka upahnya. Dan bermesyuaratlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik. Tetapi jika antara kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusu (anak itu) untuknya."

4. Dalam satu hadis yang diriwayatkan dari Umar Ibnu Khattab dari Rasulullah SAW:
" Apabila ia (wanita) melahirkan anak, maka tidak keluar seteguk susu dan tidak disentuh teteknya dengan sentuhan melainkan untuknya pada setiap teguk dan satu sentuhan itu satu kebajikan. Jika ia berjaga malam maka baginya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba pada jalan Allah SWT."
" Tiap wanita diantara kamu yang melahirkan tiga orang anak, mereka (anak-anak itu) akan menjadi penghalang (penyekat) baginya dari api neraka! Para wanita itu bertanya: "Bagaimanakah kalau melahirkan dua orang anak?" Rasulullah SAW menjawab: "Ya, dua orang anak pun demikian juga!" (Hadis dikemukakan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim).


5. Abdullah bin Abbas pernah mengatakan:
" Hendaklah kamu beristeri, kerana sehari hidup beristeri lebih baik daripada seribu tahun beribadah!"

6. Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila seorang wanita menunaikan kewajipannya terhadap Tuhannya, mentaati suaminya dan menggerakkan peralatan tenunannya, maka seolah-olah ia membaca tasbih kepada Allah terus menerus. Dan selama mana berkekalan alatan tenunan itu pada tangannya maka seolah-olah ia sembahnyang berjemaah. Apabila ia menjerang periuk untuk memberi makanan kepada anak-anaknya nescaya Allah menggugurkan segala dosanya (selain daripada dosa besar)." (riwayat Abu Hurairah)
" Sesiapa saja isteri yang meninggal dunia, sedang suaminya redha terhadap pemergiannya, maka ia akan masuk syurga." (Riwayat Imam Tirmidzi)
"Sesungguhnya meminta ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya iaitu burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama ia sentiasa dalam kerelaan suaminya. Dan sesiapa saja di kalangan isteri yang tidak berbakti kepada suaminya, maka ia mendapat laknat dari Allah dan malaikat serta semua manusia." (Dari Kitab Muheimah)


Inilah keistimewaan seorang wanita diantara yang di sebut didalam Al-Quran dan Hadis. Semoga anda faham bahawa makhluk yang bernama wanita ini memang istimewa dan mempunyai martabat yang tersendiri di sisi Allah SWT.