Khamis, 7 Januari 2010

BERTERUS TERANG DAN BERKOMUNIKASI dengan pasangan anda.

Sikap suka berterus terang akan dapat mengelakkan sebarang salah faham, pertindihan pendapat, prasangka dan cemburu terhadap pasangan. Sesungguhnya komunikasi yang jelas, jujur dan terus terang memainkan peranan dalam melayari bahtera rumahtangga.

Zaman moden kini ramai para isteri atau suami berkomunikasi dengan menggunakan teknik sindiran, kiasan, leteran untuk meluahkan perasaan dan tidak kurang juga yang silap menggunakan cara berkomunikasi sehingga mesej yang disampaikan tidak di fahami dan disalah ertikan.

Sebahagian besar hidup suami isteri perlu diisi dengan berkonunikasi sama ada komunikasi secara lisan atau bukan lisan. Berterus terang meluahkan perasaan dalam menyelesaikan masalah terutamanya dalam masa perbincangan hendaklah dengan penuh hemah, sopan santun dan berlemah lembut dalam bertutur kata dan bukannya menengking atau berkasar bahasa atau pun meninggikan suara. Jika tidak dapat dilakukan berkomukasi secara lisan hendaklah secara bukan lisan, sama ada melalui surat, sms atau email supaya mesej atau isu penting dapat di sampaikan.

Namun realitinya masyarakat kita seringkali menghadapi masalah untuk meluahkan apa yang tersirat di hati. Ini kerana kita mempunyai sifat yang ingin menjaga maruah dan menjaga perasaan orang sehingga apa yang ingin disampaikan tidak dapat dan terjadilah makan hati berulam jantung. Kalau pun ingin di nyatakan, sifat kita yang selalu berbunga-bunga, sindirin ataupun kiasan. Sebab inilah selalu terjadinya pertengkaran atau salah faham kerana mesej yang disampaikan disalah ertikan. Ingatlah berterus terang dengan pasangan dapat menjauhi pertengkaran dan konflik dalam rumah tangga.

Komunikasi dan kemesraan satu keperluan untuk melahirkan suasana harmoni dalam sesebuah keluarga. Nyatakanlah dengan ikhlas dan berterus terang secara jelas pada masa dan waktu yang sesuai. Kebijaksanaan memilih masa akan dapat di terima dengan mudah oleh pasangan. Jangan membincangkan masalah dari hati ke hati seperti di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan, masa makan atau balik kerja kerana masa ini pasangan terlalu penat dan fikiran masih lagi letih untuk berfikir. Pilihlah tempat yang jauh dari gangguan.

Bentuk komunikasi yang baik ialah mesej dapat disampaikan secara lisan dan gerakan bukan lisan iaitu mimik muka, nada suara, gerakan tangan dan badan. Supaya mesej atau perasaan anda dapat disampaikan. Tapi harus berhati-hati dalam menyampaikan yang ingin dinyatakan. Jika tersilap cara penyampaian akan disalah ertikan menjadi satu paksaan, ugutan, aduan atau luahan menjadi leteran atau kritikan. Jauhi perbincangan berbentuk negatif dan agresif seperti mengeluarkan pendapat dengan bahasa yang kasar dan mengugut. Jangan cuba memanipulasikan pasangan dengan cara pujukan dan rayuan yang tidak ikhlas kerana dalam pada itu anda telah memaksa pasangan tersebut.

Sebilangan kita yang tidak berani atau malu untuk meluahkan dan melahirkan rasa cinta. Lahirkanlah perasaan anda itu dengan ucapan dan sokonglah dengan sentuhan yang lembut, belaian dan pemahaman yang ikhlas. Lebih baik lagi diiringi dengan hadiah. Jangan pula hadiah atau perasaan cinta anda diluahkan pada masa tertentu seperti hari ulang tahun perkahwinan atau hari jadi. Selalulah meluahkan perasaan cinta anda, jika isteri kalau boleh belai suami dan layanlah suami setiap hari sepulangnya suami dari kerja supaya hilang penat suami. Kalau boleh lagi sebelum suami pergi kerja, tapi jangan lebih-lebih nanti tidak bekerja pula si suami. Bagi suami pula berilah hadiah sekali sekala pada isteri sepulangnya dari kerja. Pasti isteri gembira dan senang hati, melihat isteri senyum dan senang hati pasti anda sebagai suami juga gembira dan senang setelah pulang bekerja. Praktikanlah insyallah berkesan dan ada perubahan pada isteri atau suami.

Jauhi prisip berbohong sunat untuk melindungi sesuatu perkara. Jika terbongkar nanti ianya akan memberi kesan buruk. Ingatlah para isteri atau suami, sikap berterus terang anda akan membawa keharmonian rumah tangga. Jika tidak anak-anak akan menjadi mangsa keadaan yang dicipta oleh anda sendiri. Adakah anda ingin lihat anak-anak yang bermasalah? Masalah rumah tangga anda akan mempengaruhi emosi anak-anak yang membawa kepada kehidupan mereka di masa hadapan.

Jangan ragu-ragu atau malu untuk menghadiri kursus rumah tangga atau berjumpa dengan pakar kaunseling untuk mendapat khidmat nasihat mereka. Hanya dengan cara ini anda akan dapat menyelesaikan masalah dan kesilapan anda. Tidak lupa juga selalulah berdoa kepada Allah SWT untuk keharmonian rumah tangga dan banyakkan membaca Al-Quran kerana sebaik-baik ubat kepada penyakit hati ialah memperbanyakkan membaca Al-Quran.